Pendakwah dinamik

Sebagai orang yang berkecimpung dalam dakwah dan memegang jawatan ketua jabatan dakwah, saya berbesar hati jika tuan dapat memberikan sedikit petua menjadi pendakwah yang dinamik masa kini. Nampaknya Menteri baru di Jabatan Perdana menteri Datuk Dr. Zahid Hamidi, seorang yang dinamis.

– Muhamad Imran, Muar.

JAWAPAN: Terima kasih atas soalan tersebut di atas. Kebetulan beberapa bulan lepas saya telah memberi ceramah kepada beberapa anggota KAGAT di Cheras, Selangor. Antara lain saya ada menyebut tentang pendakwah masa kini yang memerlukan sifat dan sikap dinamisme seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Pendakwah juga adalah pemimpin. Adalah silap meletakkan tugas kepimpinan kepada orang politik sahaja. Kepimpinan ada pada semua orang termasuk tokoh korporat, ada pada ahli akademik, malah ada pada setiap sektor masyarakat, ada pemimpin masing-masing.

Untuk menjadi pemimpin, para pendakwah memerlukan persiapan dari segi kerohanian, keilmuan, kejiwaan, sosial dan budaya. Dakwah bukan lagi bergantung kepada retorik dan pandai berucap tetapi bagaimana menterjemahkan segala ucapan dan retorik itu ke dalam praktis di alam realiti. Masyarakat memerlukan contoh yang hidup, bukannya contoh yang ada dalam lipatan sejarah sahaja.

Pendakwah yang ikhlas akan sentiasa bergantung dengan sikap dan budaya tinggi mengharap ganjaran Allah s.w.t. Jika demikian mereka tidak lagi terikat dengan perebutan semasa dengan ganjaran segera yang sedikit dan murahan itu.

Sebaliknya, kerohanian melahirkan penyatuan hati. Bersifat zawqi dan punyai idealisme yang cukup tinggi. Kerohanian juga memberikan sikap muraqabah dan muhasabah diri dalam setiap perlakuan dan tutur kata.

Justeru itu jika ingin menjadi pendakwah yang benar-benar berhemah, tidak harus berhenti daripada belajar dan menimba ilmu pengetahuan. Idea tidak kering dan minda akan sentiasa terjana dengan baik di bawah kawalan rohani.

Pendakwah berjiwa tinggi dan dinamis akan memiliki sifat keberanian yang luar biasa, mampu berterus terang, kasih dan sayang kepada semua orang, berdisiplin dan memiliki sifat dan segala akhlak mulia.

Suka berjiwa mulia kerana ia melahirkan manusia matang dan bijaksana serta dapat mengurus diri secara berimbang dan masyarakat dapat menerimanya dengan baik. Oleh itu jiwa yang kuat sekali gus mampu melahirkan pendakwah yang kental dan tahan uji.

Dinamisme di kalangan pendakwah akan muncul mereka yang tidak takut tak bertempat, malu tak bertempat dan tidak sekali-kali jadi perungus dan pemarah yang tak keruan.

Sementara dinamika sosial menjadikan pendakwah akan menjaga hak-hak orang lain. Mereka beriltizam dengan adab, etika dan moral serta berakhlak tinggi. Juga sanggup melakukan kritikan sosial yang tajam dan berpengaruh.

Etnik

Dalam masyarakat majmuk agama dan majmuk etnik seperti di Malaysia, pendakwah dinamis harus memiliki kefahaman untuk hidup dalam silang budaya. Mereka tidak harus hanya terperosok dalam kaumnya sahaja, tetapi mampu berinteraksi dengan mereka yang mempunyai kelainan dan beza kepercayaan, budaya, malah cara hidup yang berbeza.

Jadi pendakwah dinamis ini sewajarnya mampu berinteraksi secara selesa dengan mereka yang beza agama dan beza bangsa. Justeru ia dapat memahami dan mampu berinteraksi secara sopan kerana sudah memahami tabiat kaum lain itu.

Pendakwah harus dapat memahami latar belakang sejarah dan warisan, resam dan identiti pihak-pihak yang pelbagai. Kelainan itu memberikannya variasi dalam bermu‘asyarah dan bermuamalah yang sememang diajar oleh agama Islam.

Dalam bahasa Islam, selalu dilaungkan bahawa mereka harus kenal-mengenal di antara satu sama lain, bukannya bersangka buruk dan berperasaan jahat dan wasangka antara satu sama lain.

Untuk kejayaan dakwah yang dinamik ini perlu para pendakwah memahami akan tabiat berlainan, malah memahami kerangka agama dan budaya orang lain.

Bukan itu sahaja, wajar pendakwah memahami cara interaksi dengan mendalami sifat khusus psikologi dan budaya mereka yang berlainan agama itu.

Dalam kepelbagaian alat komunikasi dan kaedah perhubungan baru, pendakwah dinamis juga seharusnya dapat memahami cara hidup “bersama” yang interaktif di mana satu pihak dapat mengambil faedah daripada pihak lain. Inilah juga yang dimaksud oleh nabi: Hikmah itu barang yang hilang daripada orang mukmin. Di mana dijumpa, ia lebih berhak untuk mendapatkannya, demikian kira-kira maksud Nabi s.a.w.

Sebarang tembok psikologi harus ditembusi dan apa-apa sahaja yang menghalang dapat dihapuskan agar interaksi dapat berjalan secara terus.

Pendakwah malah umat Islam sepatutnya mampu mengekspresikan nilai, akhlak, syariat secara yang baik, supaya dapat menghasilkan dialog praktis secara tertib, bukan dalam bentuk dialog oral tetapi dialog amal.

Justeru itu para pendakwah secara khusus dan umat secara umum semestinya mempertingkat upaya khidmat sosial dan menunjukkan kemampuan menawarkan khidmat kepada sesama serumpun mahupun dengan pihak lain.

Para pendakwah tidak lagi harus hidup dalam kepompong lama, tetapi memperbaharui wasilah dan kaedah, peralatan dan uslub sehingga diyakini dakwah dapat menyelesaikan masalah dan permasalahan bukan dengan kata-kata tetapi secara praktikal.

Sebagai contoh lagi, bagaimana sampai akhlak muslim itu dapat menyerap dalam kehidupan pihak lain dengan contoh dan teladan yang baik.

Hubungan perdagangan, bicara intelektual, malah apa-apa saja hatta pelancongan sepatutnya menjurus ke arah penyerapan unsur baik ke dalam unsur yang rendah. Ketika itu barulah dapat dikatakan semua aktiviti kehidupan menjadi ibadah dan dakwah.

Pendek kata, hanya mampu berlangsung kedinamisan apabila para pendakwah muncul sebagai manusia contoh dan teladan. Perlu di sini diberi ingatan bahawa pendekatan yang tidak terlampau keras dan ketat dan tidaklah pula bererti terlalu longgar. Pendekatan sederhana yang tidak menunjukkan wajah fanatik tak bertempat tidak menjadi wajah dan ciri pendakwah.

Dengan bahasa lain, pendakwah berkesan dan dinamis adalah mereka yang mampu memberi kesan kepada kehidupan sosial dalam masyarakat majmuk sama ada dia tokoh politik, mahupun ahli korporat atau para profesional atau juga seorang ahli agama yang mempunyai impak kepada masyarakat.

Semoga lebih ramai lagi daripada kalangan umat Islam muncul sebagai pendakwah dinamis melalui Parlimen hingga ke kedai kopi atau bengkel motor. Selamat berdakwah.

Iklan
Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s