Usaha pulih Islam

Sepanjang laluan menuju ke ruang kerja Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, ia dihiasi gambar-gambar yang dirakamkan sendiri oleh beliau. Ia termasuklah gambar yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jika dikaji dari segi meningkatkan imej Islam di mata barat kedua-dua pemimpin ini bertanggungjawab dalam mempromosikan Islam progresif kepada negara-negara berkenaan.

Justeru pertemuan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR dengan Dr. Rais pada Khamis lalu ada kaitan dengan perjuangan kedua-dua pemimpin itu. Ini kerana mulai esok, selama dua hari, Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ketiga Dunia Islam dan Barat di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan itu, Dr. Rais memperincikan mengenai persidangan tersebut dan kenapa ia dilihat begitu penting dalam membantu memperkenalkan dan memperjelaskan Islam kepada dunia barat.

Tidak terlepas diperkatakan oleh Dr. Rais ialah mengenai langkah politik beliau terutama hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden serta pandangan beliau mengenai keadaan UMNO sekarang.

MINGGUAN: Apakah signifikan di sebalik Persidangan Antarabangsa Ketiga Dunia Islam dan Barat ini diadakan?

DR. RAIS: Persidangan ini adalah salah satu mesyuarat yang sangat diambil berat oleh Perdana Menteri dan Kementerian Luar memainkan peranan utama supaya mesyuarat tersebut melibatkan pemikiran baru yang boleh membina hubungan mesra dan intim dengan barat. Ini bagi memastikan mereka memahami apa sebenarnya yang indah dan baik tentang Islam. Dalam persidangan ini dijangka lebih kurang lapan hingga 10 intelektual Islam akan menyampaikan pelbagai pandangan mereka.

Di samping itu, Malaysia akan mengambil kesempatan supaya forum ini dapat membentuk satu penjiwaan dan pengertian terhadap Islam yang progresif melalui pendekatan Islam Hadhari. Walaupun terdapat polemik di beberapa negeri di Malaysia berhubung Islam Hadhari tetapi Barat sudah mula memandang Malaysia sebagai negara yang mempunyai visi kepada Islam progresif.

Apa yang Malaysia harapkan melalui persidangan kali ketiga ini?

DR. RAIS: Malaysia berharap melalui persidangan seumpama ini ia dapat memberikan pemahaman kepada barat mengenai Islam. Apa yang kita harapkan mereka tidak melihat Islam menerusi kaca mata keganasan dan kekasaran yang sudah pastinya memberi gambaran negatif terhadap Islam. Walaupun sudah dua kali persidangan ini diadakan namun masih terdapat banyak lagi aspek kehidupan dalam Islam yang harus kita terjemah dan tonjolkan. Ini termasuklah, misalnya bagaimana undang-undang syariah di negara ini boleh wujud bersama-sama dengan undang-undang sivil.

Selain itu, kita juga berhasrat menunjukkan bagaimana kita menterjemahkan syariah di dalam perlembagaan lanjutan daripada pindaan yang dilakukan pada tahun 1988. Ia menyentuh beberapa perkara yang berkaitan kuasa mahkamah. Tujuan kita ialah untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama sepanjang zaman yang tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan namun Barat masih lagi memandang negatif terhadap Islam. Apa yang boleh Malaysia sumbangkan melalui persidangan ini?

DR. RAIS: Kita tidak tergesa-gesa untuk melihat hasilnya. Dalam memberi pemahaman kepada Barat ia memakan masa, tetapi persidangan ini mampu mengisi keperluan kita untuk masa depan. Apa yang pasti kita akan terus berusaha bagi memastikan suatu hari nanti akan tercapai persefahaman antara Islam dan Barat.

Bagi saya, teori Clash of Civilizations oleh Samuel Huntington berhubung akan berlaku pertembungan peradaban antara Islam dan Barat tidak boleh dipakai. Ini kerana kalau digunakan, ia boleh menyebabkan berlaku beberapa peperangan, pembunuhan dan salah faham antara kedua-dua peradaban itu. Justeru kita harus menyatakan teori berkenaan hanya untuk tujuan akademik sahaja tetapi dari segi amalannya, Islam harus hidup bersama dunia dan masyarakat antarabangsa terus menerus. Bagaimanapun cara dan kaedahnya harus difikirkan. Inilah salah satu tujuan persidangan ini.

Imej Islam agak tergugat selepas peristiwa 11 September, kenapa harus menjadi begitu?

DR. RAIS: Sebab kita tidak ada banyak pilihan atau forum untuk menyatakan cara hidup Islam. Dalam suasana di mana Barat hadir, kita selalu mewujudkan persoalan akidah dan fardu ain. Walaupun ia salah satu perkara dalam Islam tetapi apa yang penting ialah mengetengahkan tamadun Islam iaitu cara hidup kita. Kalau ini dapat diketengahkan saya yakin lama-kelamaan Barat akan memahaminya. Selain itu kita juga berharap melalui hasil persidangan ini, kita mampu mencari jalan supaya dalam persidangan akan datang ia akan turut melibatkan pertemuan antara kuasa-kuasa Timur Tengah dengan Britain, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Selepas itu kalau perlu baru kita melibatkan China, Jepun dan Taiwan untuk memahami Islam dari segi ketimuran.

Mengambil semangat daripada objektif persidangan ini, kenapakah hingga sekarang Islam dan Barat terus bertentangan?

DR. RAIS: Saya fikir ini berlaku berikutan amalan-amalan yang terkandung menerusi penerapan nilai hidup, perdagangan, hak asasi manusia dan undang-undang. Di samping itu cara kita mentadbir kerajaan turut mewujudkan ruang-ruang yang menyebabkan Islam itu dipertikaikan oleh pihak lain. Kita mempunyai cukup ramai orientalis yang mengkritik Islam tetapi mereka bertindak demikian melalui kajian perbandingan dalam bidang tertentu seperti common law contohnya.

Oleh itu kita mempunyai pakar-pakar, mereka boleh menghujahkan bahawa tidak semestinya Islam itu bertembung dengan bukan Islam asalkan haknya ditentukan oleh perlembagaan masing-masing.

Dalam ucapan Perdana Menteri dalam persidangan pertama dahulu, beliau menyebut salah satu sebab berlaku pertembungan antara Islam dan Barat adalah kerana budaya hegemoni?

DR. RAIS: Itu satu penjurusan dan mungkin kebenarannya sudah mula dirasai. Sifat menghimpit yang ada pada Barat ini dapat dilihat apabila Iraq ditawan. Kita melihat bagaimana sebuah negara yang bebas akhirnya dimusnahkan oleh satu kuasa luar yang menghalalkan bahawa Iraq harus diputihkan kononnya mengikut kaca mata hak asasi manusia. Seharusnya cerdik pandai Islam tampil menyatakan bahawa perbuatan menawan itu sendiri bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Persoalannya siapa yang hendak mengadili Amerika Syarikat (AS)? Dalam soal ini, kita harus kembali kepada sentimen bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa dalam sistem pengadilan nilai oleh negara-negara maju, Islam dihimpit sebelum Islam itu dapat menyatakan hak masing-masing.

Sekarang perkara itu sudah terbukti, justeru kita hendak bangkitkan juga hal ini dalam persidangan kali ini. Satu lagi cara ialah sikap barat mengambil khazanah kawasan-kawasan perang. Kenapa di negara-negara barat, khazanah budaya Islam banyak di tempat mereka bukan di negara Islam sendiri? Ini menunjukkan bahawa di samping menilai budaya Islam, mereka juga menghimpit negara-negara Islam secara kekerasan.

Tetapi Islam dilihat sentiasa ditindas kerana mereka tidak bersatu seperti Barat?

DR. RAIS: Itu saya akui macam di Timur Tengah, misalnya banyak yang menjadi separuh bapa saudara kepada AS. Orang di Mesir dan Qatar serta 22 buah negara Islam termasuk di benua Afrika tidak ada satupun yang boleh disamakan dengan kepakaran Barat atau Eropah. Ia menjadi satu sebab negara- negara Islam di Timur Tengah tidak boleh bersatu. Dalam soal ini cerdik pandai Arab harus bersekutu, kita tidak ada jawapan untuk itu. Bagaimanapun kita boleh mengingatkan kuasa di Timur Tengah betapa pentingnya mereka bersatu. Langkah itu penting supaya mereka mampu menyatakan sesuatu dengan tegas kepada Israel dan AS. Bagi saya selagi mereka berada dalam keadaan sekarang, saya tidak fikir Timur Tengah boleh mengendalikan kehidupan kolektif Arab Islam.

Adakah yang berlaku kepada Islam sekarang disebabkan penjajahan media Barat?

DR. RAIS: Itu berlaku sebelum Al Jazeera muncul. Ini kerana mengikut kaca mata CNN atau BBC, berita kebaikan Islam itu tidak pernah menonjol. Apa yang ditimbulkan biasanya ialah tindakan pembunuhan dan pemberontakan oleh orang Islam. Kecantikan seni budaya Islam, cara Islam bersekutu semasa berjemaah dan rasa pemikiran ijtimak tidak pernah dipaparkan kerana mereka tidak fikir ia penting sebab apa yang mereka utamakan ialah keburukan. Ini satu punca yang harus kita bangkitkan dalam Persidangan Antarabangsa Ketiga Dunia Islam dan Barat itu. Masanya sudah sampai untuk media diberi didikan dan telahan sebenar mengenai Islam.

Bagaimana pula dengan media disalah gunakan oleh barat seperti menghasilkan filem Fitna contohnya?

DR. RAIS: Itu sebabnya kita awal-awal lagi membantah. Ini kerana ahli Parlimen Belanda yang menghasilkan filem itu mengambil bab yang menunjukkan Islam ganas. Kita menyatakan tafsiran berhubung kenabian kita tidak diberi pengertian, jadi seperti mana kata pepatah Inggeris, pengetahuan terhad memang membahaya dan dalam kes Fitna bahayanya itu telah memecah belahkan masyarakat antarabangsa. Filem Fitna ini adalah salah satu propaganda di Eropah untuk memburukkan agama. Alhamdulillah, setelah Malaysia dan banyak negara mengkritik penyiaran filem itu, ia diam begitu sahaja dan ia tidak lagi ditayangkan.

Daripada filem Fitna kita mendapat dua rumusan, pertama, salah mengertinya masyarakat Barat tentang Islam dan kedua, mereka tidak sensitif terhadap budaya agama dan Islam itu sendiri. Jadi kita harus bangkitkan dalam forum antarabangsa supaya Eropah mesti belajar memahami sensitiviti orang Islam.

Hakikatnya, ini bukanlah pertama kali barat sengaja menyalah ertikan mengenai Islam itu. Kenapa berulang kali dilakukan?

DR. RAIS: Ini muncul daripada kesilapan kita sendiri juga. Dalam dunia Islam sendiri pun terdapat pelbagai mazhab dan pemikiran. Ia diburukkan lagi apabila berlaku pelbagai peristiwa bermula daripada tindakan Osama bin Laden, Taliban dan tragedi Al Quds Al Sherif (pengeboman di Arab Saudi). Semua ini memberi peluang kepada Barat untuk menghentam dunia. Walaupun semua itu benar-benar wujud atau terjadi tetapi kemurnian masyarakat Islam seperti kebaikan kita berzakat mereka tolak ke tepi. Saya anggap apa yang berlaku ialah politik keagamaan, mereka lebih suka kepada penonjolan Catholicism (katolikisme) atau protestantism (kefahaman Protestan).

Bagaimanapun dunia Islam dilihat terlalu lemah dalam menangkis serangan barat?

DR. RAIS: Bagi saya, bukan sahaja lemah malah terhad. Ini kerana media kita sendiripun tidak begitu mengenal pasti isu-isu yang penting bagi kita. Indonesia misalnya sebuah negara Islam terbesar tetapi berapa negara dunia yang membuat pengiktirafan itu? Oleh itu lebih baik negara-negara progresif Islam bersatu dan mengadakan perbincangan terus menerus. Malaysia akan cuba mengemukakan di Persidangan Negara-negara Islam betapa pentingnya cerdik pandai Islam dikumpulkan dalam satu gagasan supaya mereka ini diberi peluang untuk menonjolkan yang baik terhadap Islam. Malaysia akan membawa terus perancangan ini jika tidak kita akan sentiasa terhimpit oleh media barat dan tidak mampu mengubah pandangan mereka.

Iklan
Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s