Sholat penawar Siti Aisyah

DIMARAH, dipulau dan disisih ibu bapa, adik-beradik, anak-anak serta saudara mara adalah antara sebahagian cabaran yang dihadapi Siti Aisyah Abdullah, 48, sejurus rahsia pengislaman beliau terbongkar kira-kira lima tahun lalu. Menurut ibu tunggal dan guru di Tadika Twinkle Play House, Taman Sri Muda, Shah Alam ini, beliau berjaya merahsiakan pengislaman diri hanya selama dua tahun selepas memeluk Islam pada 2001 di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam, Selangor.

“Semuanya terbongkar apabila salah seorang adik saya menyiasat kecurigaan mereka yang mendapati saya kerap ke Klang. Rupa-rupanya pemergian saya ke Masjid India, Klang untuk belajar agama Islam diketahui mereka akhirnya,” katanya.

Walaupun sedih dan kecewa, Siti Aisyah tidak menyalahkan mereka kerana mereka tidak memahami agama Islam dalam erti kata yang sebenar.

Sebabnya, pemahaman mereka banyak dipengaruhi oleh persepsi media Barat yang sentiasa memaparkan keburukan Islam. Ditambah pula, ada segelintir umat Islam itu sendiri yang memberi contoh yang tidak betul.

“Akibatnya agama Islam itu dilabel dengan pelbagai persepsi yang negatif. Sebenarnya, Islam itu adalah agama yang terbaik dan menepati fitrah hidup manusia,” ujarnya seraya memohon maaf jika apa yang disebutkan itu menyinggung individu atau kumpulan tertentu.

Bagaimanapun, Siti Aisyah bersyukur kerana ahli keluarga, terutamanya ibu sudah menerima pengislaman beliau. Itupun selepas diterangkan akan kebenaran Islam serta menunjukkan akhlak Muslim sebenar.

Menyedari kepentingan pemantapan ilmu agama, menyebabkan ibu kepada dua anak lelaki yang berusia 17 dan 22 tahun, tidak pernah melepaskan peluang mengikuti pelbagai kursus pemantapan akidah dan seminar bagi bergelar pendakwah atau daie anjuran mana-mana pejabat agama Islam dan persatuan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Berkongsi kisah penghijrahan akidahnya, cerita Siti Aisyah, perkenalan dengan teman-teman yang beragama Islam di kilang tempatnya bekerja merupakan langkah awal mengenali agama Islam.

“Ia berlaku lebih 10 tahun. Masa itu saya sudah bercerai dan bekerja demi menampung perbelanjaan ibu dan anak-anak. Sepanjang lima tahun bekerja di sana, banyak yang saya ketahui tentang Islam seperti solat, puasa dan akhlak seorang Muslim.

“Selepas saya berkenalan dengan seorang lelaki dan kemudian diperkenalkan dengan sebuah keluarga angkat, ia menambahkan lagi kefahaman dan keyakinan saya kepada Islam. Pada masa itu, keluarga masih tidak mengetahui minat baru saya itu.

“Yang menambahkan keyakinan dan keimanan saya kepada Allah Yang Esa ialah apabila melihat aspek solat orang Islam. Umat Islam hanya menyembah pada Allah SWT,” akui Siti Aisyah yang memiliki 10 tahun pengalaman sebagai guru tadika serta mengendalikan kelas tuisyen.

Ditanya apakah yang mencetuskan minat beliau dalam kerja-kerja pendakwahan, jelas Siti Aisyah, apabila mendapati banyak persoalan yang dikemukakan oleh ahli keluarga terdekat serta teman-teman berkaitan Islam contohnya pemakaian tudung, bermain nombor ekor dan banyak lagi, secara tidak langsung beliau terpanggil untuk menjelaskan kepada mereka secara berhikmah.

“Saya pernah ditanya oleh ibu kenapa perlu memakai tudung dan menutup aurat, sedangkan katanya ada juga wanita Islam tidak melaksanakannya. Mudah sahaja saya memahamkan ibu, apa yang saya lakukan ini adalah kehendak Allah dan mengikut landasan Islam yang sebenar,” jelasnya.

Begitu juga dengan pelbagai perkara yang dilakukan umat Islam yang tidak mencerminkan akhlak dan kehidupan Muslim.

“Saya terangkan kepada mereka, perumpamaan paling mudah ialah lampu isyarat di jalan raya, ada yang patuh dan ada yang melanggarnya. Begitu jugalah dalam kehidupan manusia itu.

“Alhamdulillah, dari semasa ke semasa sungguhpun mereka belum memperoleh hidayah tetapi pemahaman daripada mereka sudah cukup memadai.

“Kini, acap kali tiba musim perayaan, ibu mahu persiapan juadah dilakukan oleh saya kerana tidak timbul lagi soal halal atau haram,” kata Siti Aisyah.

Pengislamannya diketahui saudara mara lain apabila ayah meninggal dunia pada tahun 2003. Pada saat itu, beliau tidak melakukan ritual penganut Hindu apabila berlaku kematian.

Tambah Siti Aisyah, minatnya berdakwah timbul dengan harapan lebih ramai masyarakat yang mendapat ganjaran syurga sebagaimana dijanjikan Islam menerusi al-Quran dan hadis. Apatah lagi, menyedari kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Lantaran itu, anak kedua daripada enam adik-beradik ini tidak pernah ketinggalan mengikuti program ceramah sama ada di televisyen, radio mahupun laman web terpilih.

Selain itu, penyertaan beliau dalam aktiviti berpersatuan juga tidak dilepaskan seperti Al-Hunafa, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Tegasnya, pencarian ilmu itu adalah kunci kepada setiap persoalan tidak kira dia itu seorang mualaf ataupun dilahirkan sebagai Muslim.

Prinsip Siti Aisyah setiap kali berhadapan dengan pelbagai rintangan ialah perlu banyak bersabar serta tidak meninggalkan solat.

Ini kerana takut Siti Aisyah hanya kepada Allah dan sejurus bergelar Muslim, beliau bertekad menerima segala cabaran yang mendatang.

Baginya kehidupan mualaf itu tidak boleh lari daripada menghadapi tentangan dan rintangan. Dua perkara ini bagai isi dengan kuku, hanya dengan pemahaman jelas tentang Islam mampu menjadi penawar.

Kata beliau, aspek ketenangan yang diperoleh menerusi solat, zikir dan membaca al-Quran itu adalah nikmat yang tiada tolok bandingannya.

“Kalau sebelum Islam, kehidupan kita tidak berhala tuju tetapi apabila Islam menjadi pegangan hidup, matlamat kehidupan itu kelihatan lebih jelas.

“Yang cantiknya, ia bukan sahaja bermatlamat di dunia tetapi akhirat itulah yang kekal selamanya.

“Sebab itulah, saya sentiasa berdoa agar mereka yang rapat dengan saya, khasnya diberikan hidayah Allah,” katanya mengakhiri perbualan tengah hari itu.

Iklan
Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s