Berhijrah demi akidah

KEMUNCULAN bulan Muharam pada tahun ini bermakna umat Islam telah memasuki tahun baru Hijrah 1430. Sejarah mencatatkan bahawa peristiwa hijrah ini amat besar ertinya bagi perjuangan Rasulullah khususnya, dan umumnya kepada seluruh umat Islam. Peristiwa ini juga bertujuan merubah strategi perjuangan Nabi SAW. dalam menegakkan syiar Islam.

Di bawah panji-panji Islam kaum Muhajirin dan Ansar membangun persaudaraan sejati, membangun masyarakat Madani di bawah pimpinan Rasulullah

Hijrah merupakan perintah ilahiah. Dan tahun Islam mengingatkan kaum Muslim bahawa pada setiap tahun bukan sahaja terhadap kemenangan, tetapi banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan dan bersedia untuk melakukan pengorbanan yang sama seperti yang dilakukan oleh kaum Muhajirin dan Ansar itu. Iman, hijrah dan jihad adalah trilogi perjalanan hidup Rasulullah dan para sahabat.

Trilogi tersebut diabadikan dalam al- Quran pada surah al-Baqarah ayat 218: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Dalam meneruskan perjuangan Islam ini, tiada bekalan yang paling utama selain daripada akidah itu sendiri. Hijrah sebenarnya menggambarkan perjuangan untuk menyelamatkan akidah. Kita hijrah maknawi daripada perbuatan syirik kepada tauhid, dari kufur kepada iman, dari melakukan maksiat kepada taat, dari riak kepada ikhlas, dari takbur kepada tawaduk, dari malas kepada rajin dari khianat kepada amanah, dari dusta kepada jujur, dari perpecahan dan permusuhan kepada perpaduan dan berkasih sayang.

Perjuangan menegakkan akidah umat Islam di negara ini harus dihadapi dengan perjuangan dan keyakinan bahawa Allah swt sentiasa bersama dengan kita. Ini bukan bererti Allah bertempat, berjihad (berpihak) sebagaimana fahaman kumpulan bidaah. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika saat hijrah Rasulullah ia adalah satu kemenangan walaupun ketika itu pada pandangan kita kemenangan itu belum dicapai.

Kalau kamu tidak menolong (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya. Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.

Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al- Taubah ayat 40).

Keteguhan akidah atau agama seseorang itu diukur ketika ditimpa musibah bukan saat kemenangan atau kejayaan. Semua akan memeluk satu akidah apabila melihat kejayaan, namun belum tentu demikian apabila mengalami penderitaan.

Akidah atau tauhid adalah sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Para Nabi saw. diutus untuk membawa manusia kepada akidah yang sebenar iaitu tauhid mutlak.(kesaan Alah). ketuhanan yang esa dan satu inilah Tuhan yang perlu disembah, Yang terkaya dan tidak berhajat kepada suatu kerana suatu yang lain itu semuanya berhajat dan memerlukan-Nya.

Pastinya benih tanaman akidah yang suci dan bersih ini dapat melahirkan bunga-bunga perpaduan dan kasih sayang, keikhlasan dan ketakwaan serta pengorbanan.

Dalam Islam, akidah yang berunsur ketakwaan inilah yang akan melahirkan amalan yang benar-benar ikhlas, di mana amalan-amalan seseorang tidak akan diterima Allah kecuali amalan-amalan yang dilakukan oleh orang yang tidak menyekutukan atau menyerupakan Tuhannya dengan sesuatu yang lain. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Tidak ada seumpama-Nya suatu pun. (As-Shuraa ayat 11).

Dari segi realiti pula, apa yang berlaku di negara kita terdapat gerakan-gerakan politik dan ideologi tertentu yang telah mengutamakan kepentingan politik dan peribadi daripada agama Islam itu sendiri sehingga lahir fatwa-fatwa karut yang boleh memesongkan amalan mereka atas alasan tuntutan sunah, agama dan sebagainya.

Akibatnya, kita dapat melihat begitu banyak sekali penyelewengan fikiran dan fahaman baik besar dan kecil tanpa disedari oleh pengikut awam. Semua ini berpunca daripada amalan mentaati semua fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin tertentu dan setengahnya adalah daripada kalangan pemimpin tertinggi agama yang mempunyai kepentingan diri dan politik.

Adalah tidak wajar kepada mana-mana golongan, misalnya mencampuri urusan Allah berhubung dengan perkara- perkara yang hanya diketahui oleh Allah seperti iman dan kufur, syurga dan neraka atau masa depan seseorang itu masuk syurga atau neraka, kerana ia juga dikategorikan sebagai penyelewengan akidah dalam mencapai sesuatu tujuan. Dalam Islam memfatwa dengan menafikan akidah sesama Islam secara rambang dan mudah adalah terkeluar daripada sunah Rasulullah.

Islam amat ketat untuk menentukan seseorang itu terkeluar daripada akidah atau murtad, kecuali setelah dia terang- terangan menunjukkan pengkhianatannya terhadap akidah Islam. Itu pun setelah dinilai dengan saksama oleh orang yang ahli dalam bidang tersebut.

Demikian juga tuduhan zalim dan terkeluar akidah kerana menolak hukum hudud. Kerajaan sebenarnya tidak pernah menolak hukum hudud.

Kita menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal- hal lain yang menuju ke arah keislaman, tidak hanya menggunakan undang-undang yang dikatakan Islam sahaja.

Keadilan

Untuk mencapai keadilan yang di harapkan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. Prosedur, keterangan-keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul dan tidak mengandungi sebarang syubhat. Justeru inilah pemerintah melihat dalam kontek yang lebih jauh dan berhati-hati untuk melaksanakan hukum sepenuhnya termasuk hudud dan sebagainya kerana melihatkan banyak percubaan pemerintah Islam lain di negara luar sebelum ini semuanya menempuh kegagalan dan menghinakan lagi hukum Allah itu sendiri, bukan kerana menolak hukum tersebut, tetapi untuk mempastikan ia berada dalam satu keadaan yang semua akan menolong mencapai keadilan dan kemegahan Islam itu sendiri.

Inilah sebabnya ulama telah mengariskan suatu kaedah yang jelas sebagai dasar ikutan sesiapa yang berhasrat melaksanakan hukum tersebut, untuk mengelak dari berlaku kezaliman dalam suatu perundangan yang dilaksanakan. Kata mereka: Hukuman hudud akan digugurkan jika terdapat sebarang syubhat ini berpandukan hadis Rasulullah saw. yang mengarahkan supaya pemerintah jangan melaksanakan hukum hudud kiranya masih terdapat sebarang subhat atau kesamaran.

Tetapi berlainan dengan hukum takzir yang diserahkan kepada pilihan dan budi bicara pemerintah itu sendiri, sekalipun tindakan hukum takzir itu menyebabkan pembunuhan dan sebagainya. Kerana ia telah diberikan kepada kuasa pemerintah itu sepenuhnya.

Ia harus dilaksanakan dan tidak perlu digugurkan dengan syubhat seperti hudud tadi. Ini kerana hudud adalah merupakan hukum yang telah ditentu dan ditetap Allah tetapi cara dan masa pelaksanaannya terpulang kepada budi bicara pemerintah.

Jadi hendaklah dipastikan perbezaan antara siapa yang menolak hudud, dan siapa yang menangguhkannya kerana sebab tertentu yang dibenarkan agama.

Tegasnya undang-undang yang didasarkan kepada kepentingan atau maslahah yang kebelakangan, tetapi bercanggah dengan kepentingan dan maslahah yang lebih utama bukanlah undang-undang yang Islamik kerana tidak dapat mencapai matlamat yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Demikian juga pusat pemulihan akidah yang dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memainkan peranan yang lebih aktif khususnya dalam memulihkan akidah orang yang telah murtad atau mereka yang terpengaruh dengan ajaran sesat. Ini bertujuan bagi memastikan mereka benar-benar bertaubat dan kembali ke jalan benar dan diredai Allah.

Sempena tahun baru Hijrah 1430 ini, kita harus berusaha melawan hawa nafsu yang cenderung mengajak manusia ke arah melakukan perkara-perkara kejahatan dan penyeleweng daripada lunas-lunas syariat. Hijrah daripada sifat jahil kepada sifat kecerdikan dan kepandaian dari sikap jumud tertutup kepada sikap bertoleransi dan berlapang dada. Ini semua merupakan maksud dan tuntutan hijrah dalam Islam.

Iklan
Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s