Asyura kukuhkan perpaduan

SALAH satu antara hari-hari yang bersejarah dalam Islam ialah hari ke-10 bulan Muharam. Sepuluh Muharam dalam bahasa Arab disebut Asyura. Ia menjadi penting antara lain diundangkannya untuk pertama kali sebagai hari berpuasa dalam sejarah Islam. Lebih penting lagi, di bulan dan hari yang mulia ini kesempatan juga harus dimanfaat oleh umat Islam di seluruh dunia agar bersatu menentang keganasan Israel yang kini sedang bermaharajalela di bumi Palestin.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai umat Islam Palestin di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 oleh zionisme Yahudi mengingatkan kita betapa kuatnya kebencian mereka ke atas umat Muhammad SAW yang dianggap musuh abadi.

Toleransi di kalangan umat Islam ada hadnya dan wajib pada saat ini umat Islam seluruh dunia bangkit menyahut seruan jihad menentang kezaliman, pembunuhan Yahudi dan Nasrani yang angkuh ini.

Kita perlu mengambil mesej bulan yang mulia ini dengan mengingati pelbagai peristiwa dan perjuangan yang dialami oleh para Nabi dan Rasul. Perjuangan untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan puak kuffar.

Peristiwa 10 Muharam juga dikatakan sebagai hari berkabung mengingati peristiwa Karbala di mana Hussin, cucu Nabi Muhammad SAW dibunuh oleh puak khawarij. Bubur merah dikatakan simbol darah Hussin, sedangkan bubur putih simbol ketulusan Hasan untuk berdamai.

Selain daripada itu, asyura seperti mana yang difahami sesetengah orang sebagai lambang yang mengancam pemerintah. Tokoh panglima perang Bani Umaiyah, Al-Hajjaj Yusuf Al-Thaqafi melambangkan asyura sebagai hari sukacita, hari bersyukur.

Hakikatnya Asyura hanya layak dirayakan oleh ummah yang mementingkan perpaduan dan ia tidak layak diraikan oleh puak yang suka memecahbelahkan perpaduan.

Kerana ‘kekuasaan itulah yang benar’, yang salah tentu sahaja yang kalah. Inilah keamanan dan keharmonian yang dicapai oleh masyarakat Islam negara ini hasil daripada perpaduan dan permuafakatan.

Pada 10 Muharam ini banyak terjadi peristiwa penting, yang kemudian dipahatkan dalam sejarah. Imam Ghazali dalam bukunya Mukasyayafultul Qulub mencatat bahawa tidak kurang 13 peristiwa penting yang terjadi pada 10 Muharam walaupun berbeza-beza tahun dan kurunnya.

Kemenangan

Aantaranya ialah hari diciptakan Nabi Adam, diciptakan langit, bumi, bulan dan bintang, hari lahir Nabi Ibrahim dan hari terlepasnya beliau daripada bahaya unggun api Raja Namrud, hari kemenangan Nabi Musa dan tenggelamnya rejim Firaun, hari kelahiran Nabi Isa dan diangkat beliau ke langit, Nabi Idris diangkat ke tempat yang mulia, Nabi Nuh selamat daripada taufan, Nabi Sulaiman mendapat kekuasaan luar biasa, Nabi Yunus keluar dengan selamat dari dalam perut ikan, Nabi Yakkub yang buta dapat melihat, Nabi Yusuf bebas dari penjara, Nabi Ayub sembuh daripada penyakit yang mengancam jiwa dan hari pertama diturunkan hujan.

Peristiwa-peristiwa penting pada 10 Muharam itu mengandungi aspek-aspek perjuangan yang menaikkan semangat kepimpinan dan kepahlawanan. Ia mengandungi nilai-nilai pendidikan dan pengaruh kejiwaan dalam kehidupan seseorang atau sesuatu bangsa.

Mengingati persamaan motif dan tujuan perjuangan Rasulullah dengan Nabi-Nabi yang terdahulu, tidak lain adalah untuk sama-sama menegakkan tauhid, maka Nabi Muhammad telah menetapkan tanggal 10 Muharam menjadi salah satu rangkaian Sunah Nabi. Ia dilakukan dengan tatacara yang sesuai dengan ajaran Islam.

Umat Islam digalakkan banyak beribadah, menilai diri dan memohon keampunan di samping memperbaharui tekad melaksanakan keadilan di atas muka bumi ini. Dan berusaha untuk terus menegakkan risalah Ilahi walau apa pun rintangan yang terpaksa dihadapi.

Justeru semua itu adalah satu tanggungjawab yang tidak mungkin diingkari. Jangan kita jadi seperti kaum Saba yang diberi berkat yang banyak, namun kerana ingkar (tidak bertakwa – bererti melakukan kezaliman) maka Allah memberi musibah (maksud Surah Saba 15-16).

Kezaliman bukan setakat kepada Allah atau manusia lain tetapi kepada diri sendiri. Kezaliman itulah yang menghancurkan kebahagiaan kita sebagai mana pesan Allah dalam Surah al-Hijr (78-79) bahawa kehancuran penduduk ‘Aikah’ kerana kezaliman sendiri.

Antara cara menghayati Asyura ialah dengan melahirkan sikap atau jiwa dan kehidupan yang tidak dapat memisahkan aspek hubungan manusia dengan Allah; kedua, aspek hubungan sesama manusia.

Pelaksanaan ibadah kerohanian boleh dilakukan dengan mengerjakan puasa pada hari asyura. Puasa pada hari itu termasuk salah satu puasa sunat yang utama (afdal), seperti dijelaskan dalam hadis yang riwayat Muslim: “Puasa yang paling mulia sesudah puasa Ramadan ialah puasa bulan Muharam.”

Nilai puasa Asyura pada sisi Ilahi digambarkan dalam hadis lain, yang diriwayatkan Muslim: “Puasa pada hari asyura menghapuskan dosa satu tahun lampau.”

Manakala tatacara yang kedua ialah melakukan amal soleh pada hari Asyura, iaitu perbuatan kebaikan, seperti membantu mereka yang ditimpa musibah atau malapetaka alam seperti banjir yang melanda negara sekarang, membantu fakir miskin, golongan yang sengsara dan pekerjaan yang bersifat sosial dan perikemanusiaan.

Nabi menegaskan dalam satu sabdanya yang bermaksud:

Barang siapa melapangkan (meringankan, memberi) keluarganya dan ahlinya pada hari asyura, maka Allah akan memberikan kelapangan pula kepadanya dalam waktu tahun yang bersangkutan. (Riwayat Baihaki).

Jadi cara membesarkan hari Asyura itu ialah dengan melakukan ibadah (puasa) dan melahirkan kesyukuran atau amaliah. Bukan dengan cara bersedih atau menangisi kematian sesiapa terutama dengan perbuatan yang menyeksa dan menyakitkan diri sendiri atau pendekatan kemeriahan yang melalaikan dan melampaui batasan agama dengan pelbagai pesta hiburan yang merugikan kerana Islam tidak pernah melarang hiburan yang terurus dan boleh membawa kebaikan dan pembangunan serta kemajuan.

Jika kita perhatikan perkembangan tatacara memperingati atau membesarkan hari Asyura itu sesudah zaman Rasulullah dan sahabat, kita dapati banyak telah mengalami perubahan bahkan menyimpang, dan tidak sesuai dengan ketentuan-ketentuan Sunah Nabi.

Perkembangan-perkembangan itu ada kalanya dicelup dengan kepentingan-kepentingan satu golongan atau unsur-unsur lainnya yang bersifat tradisional.

Sebagai contoh, perayaan Asyura di kalangan kaum Syiah. Mereka menghubungkan 10 Muharam dengan peristiwa terbunuhnya tokoh kaum Syiah, Hussin, putera Ali bin Abi Thalib. Dalam peperangan yang terjadi antara dua dinasti iaitu Muawiyah dengan sokongan Khawarij di satu pihak, di medan pertempuran di padang Karbala (Iraq), Hussin tewas dan jenazahnya diperlakukan dengan cara yang sangat kejam. Peristiwa itu terjadi pada 10 Muharam, 61 Hijrah (10 Oktober 680 Masehi).

Jelas di sini bahawa cara yang ditetapkan oleh Sunah ialah merayakan atau membesarkan hari asyura dengan berpuasa dan melakukan perkara-perkara kebaikan atau amalan bersifat sosial yang diredai Allah.

Namun, ibadat puasa pada hari besar tersebut juga merupakan perayaan kaum Yahudi untuk mengingati peristiwa bersejarah kemenangan Nabi mereka (Musa as.) daripada kepungan dan serangan Firaun. Dalam hal ini Nabi Muhammad bersabda: “kami lebih berhak dengan Musa dari kamu, oleh itu kami juga ingin merayakan hari bersejarah tersebut dengan melakukan ibadat puasa pada hari itu,” lalu diperintahkan umat Islam berpuasa sebagaimana diriwayatkan dalam sahih Bukhari.

Amalan ini (berpuasa) dianjurkan untuk diteruskan, di samping merayakan hari bersejarah ini dengan mengadakan jamuan sejenis makanan (bubur) yang terdiri daripada bahan yang mudah diperolehi dan disediakan yang dilakukan secara bergotong-royong dalam usaha merapatkan lagi hubungan kemesraan dan kasih sayang dalam masyarakat.

Kerja gotong royong seperti ini patut diteruskan sekalipun ada tuduhan yang mengatakannya bidaah. Walhal usaha begini boleh dinilai sebagai budaya makruf (bidaah hasanah), yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW seperti dalam sahih Muslim bermaksud; “Jangan kamu mempersendakan perkara makruf sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada peristiwa sejarah Rasulullah SAW jelas menunjukkan simpati dan mensyukuri kemenangan Musa as. Ini kerana umat Islam dengan umat Islam yang lain itu adalah seperti sebatang tubuh, di mana jika salah satu anggota mengalami kesakitan maka seluruh anggota lain ikut mengalami kesakitan yang sama.

Demikianlah juga nasib penderitaan yang dialami umat Palestin hari ini. Seluruh dunia Islam dan saudaranya yang beragama Islam akan mengadu kesakitan dan penderitaan yang sama. Mereka akan mengadu dan berdoa kepada Tuhannya mudah-mudahan segera diselamatkan umat Islam di Palestin daripada keganasan dan kepungan ‘Firaun’ dari (rejim) zionis yang sedang bermaharajalela sekarang.

Dari perasaan simpati tersebut yang ditiupkan hari ini melalui pelbagai ibadat yang dianjurkan itu, akan lahirlah kesedaran dan kerjasama untuk membina ikatan ukhuwah di kalangan umat Islam sejagat dengan perasaan kasih mesra, sebagaimana yang dianjurkan Allah dalam firman-Nya bermaksud “bertolong-tolonglah atas kerja kebajikan dan ketakwaan dan jangan sekali-kali bertolongan atas usaha dosa dan perseteruan (dan perpecahan). (maksud surah al-Maidah ayat 2).

Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s