Antara Islam Hadhari dan ladang babi

KERAJAAN Selangor awal minggu ini mengisytiharkan bahawa sebarang program yang berkaitan dengan konsep Islam Hadhari diharamkan daripada dijalankan di negeri tersebut. Ini kerana mengikut Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, rakyat Selangor tidak memerlukan konsep tersebut lantaran Islam yang diamalkan sudah lengkap dan sempurna.

Tampak kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah kerajaan Selangor begitu komited untuk menggamalkan Islam secara total dan menyeluruh. Namun apa yang begitu ironi, ketika mempertahankan hujahnya, exco yang sama turut menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang mengatakan kerajaan Selangor akan menghapuskan kilang- kilang arak dan lesen-lesen judi di negeri tersebut.

Lebih mengelirukan apabila pemimpin yang tampak bersemangat mengharamkan pendekatan Islam Hadhari tanpa segan silu mempertahankan pula projek pembinaan ladang babi terbesar yang mencecah RM100 juta ketika polemik mengenainya tercetus tidak berapa lama dulu.

Persoalannya, apakah projek pembinaan ladang babi itu lebih mulia dan kudus daripada pendekatan Islam Hadhari? Apakah kilang arak dan lesen judi yang ada di Selangor itu lebih suci untuk dipertahankan berbanding orientasi Islam Hadhari? Atau benarkah tanggapan mengatakan Islam Hadhari ini benar-benar suatu konsep yang sesat lagi menyesatkan?

BerkepentinganApa yang pasti Islam Hadhari bukanlah agama baru sebagaimana propaganda pihakpihak berkepentingan. Islam Hadhari juga tidak sekali-kali ingin menokok tambah perkara-perkara asas dalam agama sama ada yang menyentuh aspek akidah mahupun ibadah yang sudah cukup sempurna. Sebaliknya Hadhari hanyalah sekadar suatu manhaj atau pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk memperteguhkan kefahaman umat mengenai orientasi ketamadunan yang merupakan salah satu ciri terpenting yang ada pada agama Islam.

Istilah Hadhari yang digunakan dalam konteks hari ini juga merupakan suatu usaha untuk memperkuatkan lagi (taukid) sifat ketamadunan yang tercerna dalam Islam.

Di tengah-tengah kemelut umat tercari-cari jawapan dan kaedah untuk menangkis pelbagai usaha musuh untuk memperlekeh Islam inilah kerajaan Malaysia tampil merungkai salah faham yang wujud dengan menggarap idea ketamadunan dalam upaya membangunkan negara yang terbilang.

Sesungguhnya faham dan orientasi ketamadunan dalam Islam cukup kudus dan berbeza dengan apa yang difahami Barat. Ketamadunan dalam Islam sentiasa memperhitungkan perimbangan di antara kekuatan kerohanian dan kehebatan material. Malah konsep ketamadunan yang digarap dalam Islam mampu menampilkan manusia-manusia yang berwatak seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Idea ketamadunan inilah yang pernah satu ketika meletakkan Islam dan umatnya di persada kegemilangan hingga disegani seantero dunia.

Inilah hasrat dan idea murni yang cuba diketengahkan oleh kerajaan dalam menekankan istilah Hadhari agar dalam kesibukan negara memacu kecemerlangan, aspek kerohanian dan keinsanan tidak sama sekali diabaikan. Justeru tidak timbul isu meremehkan kesempurnaan Islam dengan pengenalan istilah Hadhari yang hanya digunakan sebagai penguat sifat-sifat Islam itu sendiri.

Kesempurnaan Islam sebagai agama sebagaimana yang terungkap dalam Al-Quran adalah suatu yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun kesempurnaan itu tidaklah pula bermakna Islam menutup segala ruang dan peluang untuk umat berijtihad menggunakan akal fikiran menggarap idea-idea baru dalam mendepani kehidupan yang sentiasa berubah-rubah.

Hakikatnya dalam Islam ada perkara-perkara yang bersifat qat’iyyah (pasti dan putus) yang tidak harus diperdebatkan lagi. Ini termasuklah dalil-dalil Al-Quran dan Hadis yang jelas berkaitan dengan aqidah dan ibadah yang dikira sempurna dan tiada ruang untuk umat berbalah dan berbeza pandangan. Manakala hal-hal berkaitan dengan pentadbiran keduniaan seperti aspek-aspek muamalah dan siyasah (politik) adalah termasuk dalam ruang-lingkup dzanniyyah (samar dan tidak tetap) yang masih terbuka luas untuk umat berijtihad dan berbeza pendapat.

Justeru, bagi penulis jika dibandingkan antara isu Islam Hadhari dengan operasi ladang babi, kilang-kilang arak dan lesen-lesen judi pastinya amat ketara perbezaannya. Ini kerana babi, arak dan judi merupakan perkara-perkara yang jelas diharamkan secara qat’i melalui dalil-dalil Al-Quran dan Hadis Nabi. Sebaliknya istilah Hadhari termasuk dalam aspek ijtihadi yang masih membuka ruang untuk umat berbeza pandangan lantaran tiada dalil qat’i yang mengharamkannya.

Sebab itulah jika kerajaan Selangor benar-benar ikhlas dan komited kepada Islam, lebih baik diharamkan dulu operasi arak, judi dan idea pembinaan ladang babi terbesar berbanding program-program yang berkaitan dengan Islam Hadhari. Kita takut hanya kerana faktor politik umat sanggup menggadai prinsip dan maruah hingga berterusan berbalah sesama sendiri dalam isu yang tidak menguntungkan.

Iklan
Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s