Al-Maidah buka jalan pengislaman

DIBESARKAN dalam keluarga yang beragama Kristian, Hayat Anne Collins Osman mengakui bahawa orang Amerika 20 tahun dulu, jauh lebih beragama berbanding sekarang. Ini kerana, masih ramai pergi gereja pada setiap Ahad.

Malah kata Anne, ibu bapanya turut aktif dengan komuniti gereja. Mereka selalu menjemput paderi berkunjung ke rumah serta ibu mengajar di sekolah Ahad dan dia selalu membantu ibu.

Boleh dikatakan Anne adalah antara kanak-kanak yang dikategorikan kuat pegangan agamanya berbanding anak ahli komuniti yang lain, walaupun Anne tidak merasai sedemikian.

Pernah sewaktu sambutan hari lahirnya, Anne menerima hadiah kitab Injil manakala kakaknya menerima anak patung. Anne juga pernah meminta ibunya buku-buku sembahyang dan mula mentelaah buku tersebut bertahun lamanya.

Tambah Anne, semasa di sekolah menengah rendah (kelas pertengahan), dia mengikuti program pengajian kitab Injil selama dua tahun. Sehinggakan pada satu peringkat, dia ada terbaca satu bab di dalam kitab tersebut yang tidak begitu difahami.

Semakin dia mendalami kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, lebih banyak yang aneh dan tidak dapat diterangkan muncul.

Contohnya, kitab Injil mengajar akan idea yang dipanggil Dosa Azali. Yang membawa maksud, manusia itu dilahirkan dengan dosa. “Saya mempunyai adik lelaki dan saya tahu bayi (adik lelaki) itu tidak berdosa,” getus hati kecil Anne mula mempersoalkan pengajaran dalam agama anutannya itu.

Yang pastinya, kata Anne, kitab Injil itu banyak yang pelik dan cukup menganggu atau menolak fitrah manusia itu sendiri. Alhamdulillah, pada masa itu ada seorang pelajar lelaki yang tidak putus-putus bertanya soalan. Malah persoalan yang paling kritikal ialah konsep Trinity. Ia langsung tidak dapat diterima akal dan yang paling mengarut, apabila tuhan itu menyamai manusia.

Walaupun banyak penjelasan yang diberikan berkaitan konsep Trinity namun jawapan yang diberikan masih tidak memuaskan hati pelajar lelaki itu. Begitu juga dengan Anne. Akhirnya, guru mereka, seorang profesor teologi Universiti Michigan menyuruhnya berdoa memohon petunjuk Tuhan. Anne pun berdoa.

Semasa di sekolah menengah, secara diam-diam Anne menyimpan cita-cita menjadi biarawati. Apabila berada di kolej, sesetengah pelajar kerap bertelagah tentang agama dan dia mula mendengar pelbagai idea. Malah beliau mula belajar tentang agama Buddha, Konfucius dan Hindu. Sayangnya, jawapannya tidak ada di situ.

Pada masa yang sama, Anne berkenalan dengan seorang Muslim dari Libya. Dia menceritakan tentang agama Islam dan kitab al-Quran mereka. Katanya, Islam adalah agama yang moden, agama yang tidak ketinggalan zaman.

Memandangkan pemahaman Anne tentang Islam tertumpu pada orang Islam di Afrika dan Asia Barat yang nampak terkebelakang, lantas Anne bulat-bulan menolak agama Islam itu.

Pernah semasa Anne sekeluarga menyambut Hari Natal, keluarganya membawa pemuda dari Libya tadi untuk meraikan acara sambutan di gereja.

Sayangnya, pemuda itu cuba membangkitkan persoalan seolah-olah memperkecilkan agama Kristian dan telah membangkitkan kemarahan Anne pada awalnya. Tetapi kemudian, Anne mula berfikir mengenai kebenaran di sebalik soalan itu tadi.

Anne mengakui sungguhpun dia kurang bersetuju dengan beberapa ajaran agama Kristian tetapi dia tetap mengunjungi gereja, walaupun jiwanya tidak berada di situ.

Sesuatu yang mengejutkan berlaku, bila seorang yang rapat dengannya mengalami masalah serius dalam perkahwinannya dan telah pergi berjumpa dengan pembantu paderi untuk meminta nasihat.

Pembantu paderi itu rupa-rupanya telah mengambil kesempatan di atas keperitan dan kesugulan wanita tadi, dengan membawanya ke motel lalu cuba menggodanya.

Pada peringkat ini, Anne sudah tidak dapat menerima bagaimana orang yang bertanggungjawab besar mendengar rintihan, sanggup mencabuli kepercayaan pengikut yang setia.

Anne pergi ke gereja sekali lagi, duduk dan memandang tepat wajah paderi di situ. Di fikirannya berputar-putar beberapa persoalan. Kenapa perlu orang tengah atau perantara? Mengapa kita tidak boleh berhubung secara terus dengan Tuhan? atau mohon pengampunan sendiri?

Tidak lama kemudian, Anne menemui jawapannya menerusi terjemahan al-Quran di sebuah kedai buku. Lantas, dia membelinya dan mula membacanya berkali-kali selama lapan tahun. Pada masa yang sama membuat perbandingan dengan agama lain.

Orang Yahudi

Akhirnya, surah al-Maidah ayat 82 hingga 84 yang bermaksud: Sesungguhnya kami dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik…. … Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang soleh?” merungkai persoalan yang dicari selama ini.

Apa lagi bila melihat umat Islam bersolat jemaah yang ditayangkan di kaca televisyen dan mengetahui bahawa mereka mempunyai cara solat unik dan sudah pasati ia bukan ciptaan manusia tetapi ia daripada Allah SWT.

Malah menerusi surah yang sama ayat kelima yang bermaksud: … Pada hari itu aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama bagimu…”

Air mata Anne berderai tanpa henti menanda kegembiraan dan kesyukuran. Allah mengetahui bahawa Anne Collins dari Cheektowaga, New York, Amerika Syarikat akan membaca ayat dari surah di atas pada Mei 1986 dan kemudian diselamatkan.

Kini, beliau sedar bahawa banyak yang perlu dipelajari terutamanya bagaimana menyempurnakan solat yang betul. Masalah beliau pada ketika itu ialah ketiadaan kenalan Muslim.

Anne buntu dan dia pernah mencari nombor telefon persatuan Islam menerusi buku panduan telefon tapi bila cuba dihubungi, suara lelaki yang menyambutnya membuatkan Anne terkejut lalu memutuskan talian tersebut.

Akhirnya, dia menemui kaedah yang sesuai iaitu dengan menulis sepucuk surat bertanyakan beberapa maklumat. Ada seorang hamba Allah lelaki dari masjid itu yang menghubungi Anne dan kemudian mengirimnya risalah-risalah berkaitan Islam.

Dari sehari ke sehari, Anne semakin teruja dengan Islam sehingga dia memikirkannya siang dan malam. Anne pernah beberapa kali melintasi masjid berdekatan hanya untuk mengetahui apa yang mereka lakukan di sana.

Akhirnya, pada awal November 1986 sewaktu sedang asyik menyiapkan kerja di dapur, Anne dapat merasakan yang dirinya sudah Islam.

Masih dengan sifat penakut, Anne menulis surat yang berbunyi: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Iklan
Pos ini dipublikasikan di Tak Berkategori. Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s